Wednesday, December 19, 2018
vital-top
updated 11:42 AM UTC, Oct 16, 2018

Lawatan PM Ke Jepun Capai Kejayaan Besar

  • Published in Berita Semasa
Foto - Bernama

KUALA LUMPUR - Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Tokyo Jepun mencapai kejayaan yang luar biasa.

Bukan sahaja berjaya membawa hubungan kuala-lumpur-tokyo ke tahap yang lebih tinggi, malah lawatan kali ini juga berjaya melonjakkan keyakinan pelabur negara matahari terbit itu untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Jepun menjadi destinasi pertama pilihan Perdana Menteri untuk lawatan sulung luar negaranya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 7 bulan lalu.

Kunjungan beliau ke Tokyo adalah atas jemputan Perdana Menteri, Shinzo Abe bagi menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa Nikkei ke 24.

Nyata kemunculan Tun Dr Mahathir pada persidangan kali ini mencuri tumpuan para peserta yang mahu mendengar hala tuju kepimpinan baharu Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Foto - Bernama

Antara yang ditekankan Perdana Menteri dalam ucaptamanya termasuklah dasar pandang ke timur serta Perundingan Ekonomi Asia Timur, EAEC bagi membolehkan negara-negara kecil seperti Malaysia bersaing dengan kuasa ekonomi besar.

Dalam lawatan kali ini juga Perdana Menteri berkesempatan bertemu komuniti perniagaan utama Jepun bagi mempelawa mereka untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Rata-rata pelabur Jepun yang ditemui beliau menyatakan sokongan dan komitmen untuk terus menanam modal di negara ini.

Kemuncak lawatan Tun Dr Mahathir adalah pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Shinzo Abe.

Perdana Menteri diberi sambutan rasmi dan berpeluang memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada pasukan keselamatan Jepun.

Pada sidang media bersama, Shinzo Abe memuji dasar pandang ke timur yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada tahun 1982.

Dasar itu katanya telah berjaya mengeratkan hubungan dua hala Malaysia dan Jepun melalui kerjasama pendidikan, kebudayaan serta ekonomi.

Jepun katanya akan terus menyokong pertumbuhan Malaysia bagi menjamin manfaat ekonomi bersama.

((RTM))