Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

Kanak-kanak maut didera fizikal dan seksual : Suami isteri direman tujuh hari

  • Published in Berita Semasa

AYER KEROH - Sepasang suami isteri direman tujuh hari selepas disyaki terlibat dengan kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun.

Kanak-kanak perempuan ini dipercayai didera secara fizikal dan seksual semalam.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi memerintahkan pasangan suami isteri masing-masing berusia 45 dan 36 tahun itu direman sehingga 17 September ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris mengesahkan penahanan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kanak-kanak malang yang tinggal bersama kedua-dua suspek sejak akhir Julai lalu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka sekitar 2 pagi semalam.

Mangsa turut mempunyai kesan lebam dan parut di kepala dan peha sebelum laporan polis dibuat oleh pihak hospital.