Thursday, February 27, 2020

updated 4:53 AM UTC, Feb 27, 2020

Rangkuman mingguan perbicaraan kes SRC dan projek solar hibrid libatkan bekas PM dan isteri

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 15 Feb - Rangkuman kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini bertumpu kepada kes penyelewengan dana SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan perbicaraan kes projek tenaga solar melibatkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam prosiding Isnin lalu, saksi ke-4 pembelaan, bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Profesor Datuk Dr. Syed Omar Syed Mohammad Al-Sagaff memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mendengar secara langsung Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Al-Saud berkata sumbangan kewangan dari negara itu diberikan untuk tujuan kegunaan Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada hari ke-78 pula, iaitu selasa lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengakui, Datuk Seri Najib sendiri memohon kepada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud untuk mendapatkan sumbangan derma dan bukannya ditawarkan oleh pemerintah negara Arab itu.

Saksi ke-5 pembelaan itu juga berkata sepanjang pengetahuannya permohonan bantuan kewangan dari Arab Saudi tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Manakala Khamis lalu, bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memberitahu mahkamah bahawa adalah tidak wajar bagi Datuk Seri Najib membeli jam tangan mewah berharga hampir setengah juta ringgit untuk isterinya menggunakan sumbangan yang dikatakan daripada Arab Saudi.

Semasa membacakan kenyataan saksinya, Datuk Seri Anifah memberitahu bahawa dia tidak mendengar secara terperinci butir perbincangan antara Datuk Seri Najib dan Almarhum Raja Abdullah mengenai sumbangan kewangan kepada tertuduh.

Sebaliknya perbualan itu antara Datuk Seri Najib dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin depan.

Beralih pula pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor di hadapan hakim Mohamad Zaini Mazlan.

Pada Isnin lalu, saksi pendakwaan ke-5, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan bahawa Datin Seri Rosmah memberitahunya supaya tidak melengahkan urusan projek solar hibrid dan menuruti arahan daripada Datuk Seri Najib.

Saksi juga memaklumkan Datuk Rizal Mansor memintanya untuk membuat surat memohon pengecualian daripada Datuk Seri Najib bagi membantu JEPAK mendapat bayaran.

Jelasnya, Datuk Seri Najib bersetuju memberikan pengecualian khas seperti dipohon.

Pada prosiding Selasa lalu pula, Datuk Seri Mahdzir menyangkal dakwaan bahawa beliau setuju memberikan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar kepada JEPAK Holdings Sdn. Bhd. dengan habuan RM60 juta.

Pada hari Rabu pula, Datuk Seri Mahdzir membantah cadangan peguambela, Datuk Jagjit Singh bahawa dia mahu menjadikan Datuk Seri Najib sebagai 'kambing hitam' dalam kes tersebut.

Manakala prosiding Khamis lalu pula, saksi pendakwaan ke-6, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Madinah Mohamad memberitahu mahkamah, Datin Seri Rosmah pernah memintanya agar melihat serta mempercepatkan Projek Solar Hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Tan Sri Madinah memaklumkan beliau terkejut dan tertanya-tanya mengapa Datin Seri Rosmah berminat terhadap projek solar hibrid serta kaitan dan kepentingan isteri bekas Perdana Menteri itu dengan projek tersebut.

Menurut Tan Sri Madinah, Projek Solar Hibrid satu-satunya projek kerajaan dimana Datin Seri Rosmah menunjukkan minat dan kepentingannya.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.