Wednesday, 12 August 2020

updated 9:09 AM UTC, Aug 12, 2020

COVID-19; empat individu sembuh, dibenarkan pulang hari ini

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA, 14 Feb - Empat individu yang dijangkiti COVID-19 telah dibenarkan pulang hari ini.

Ia menjadikan jumlah kes positif virus berkenaan yang telah sembuh dan dibenarkan pulang adalah tujuh daripada 19 kes yang dilaporkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata keempat-empat individu ini merupakan kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

Beliau memaklumkannya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee (HLC) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berhubung Kluster Penyakit Novel Coronavirus (COVID-19) Bilangan 2 Tahun 2020.

Setakat ini, tiada pertambahan kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 19 kes.

Daripada jumlah tersebut, tiga belas orang adalah warganegara China dan enam warganegara Malaysia.

Sehingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan lagi bagi mengenal pasti kontak rapat kepada kes.

Sebanyak 239 kontak rapat telah dikenalpasti dan jumlah ini akan bertambah sehingga pengesanan kontak rapat ini selesai.

Daripada jumlah ini, sebanyak 181 kontak rapat ini terdiri daripada warganegara Malaysia, 46 warganegara China dan 12 lagi lain-lain warganegara.