Wednesday, 12 August 2020

updated 9:09 AM UTC, Aug 12, 2020

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid arah guna cip pasport syarikat DTSB

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 14 Feb - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agar cip pasport bekalan syarikat Datasonic Technologies Sdn. Bhd. (DTSB) digunakan dalam pengeluaran pasport Malaysia.

Satu surat bertarikh 12 Disember 2015 mengandungi minit dengan catatan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid itu didedahkan bekas Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abd Aziz Md Nor.

Minit tersebut dicatat agar Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri meneliti semula keputusan terdahulu serta menggunakan cip syarikat Datasonic sebelum lanjutan kontrak dengan Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd. (PKN).

Ketika ditanya Timbalan Pendakwaraya, Gan Peng Kun mengapa beliau mengeluarkan arahan untuk menyegerakan Surat Setuju Terima (SST) kepada DTSB, saksi menjawab ia perlu disegerakan kerana keperluan cip pasport telah sampai ke tahap mendesak.

Saksi turut memberitahu ada pengetahuan mengenai Jabatan Imigresen Malaysia mengalami masalah kekurangan pasport pada 2015.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan masuk hari ke-16 bersambung rabu depan.