Wednesday, 12 August 2020

updated 8:46 AM UTC, Aug 12, 2020

19 ahli Geng Kabali dibicarakan di mahkamah

  • Published in Berita Semasa

SEREMBAN, 1 Feb - Mahkamah Sesyen Seremban menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang oleh 19 ahli kumpulan Geng Kabali.

Hakim Madiah Harullah menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan Mohd Izhanudin Alias dan Muhammad Asyraf Minhad memaklumkan bahawa laporan forensik masih belum diperoleh.

Mohd Izhanudin ketika ditemui media berkata, pihaknya juga akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Seremban. 

Terdahulu, pada 9 Januari lalu, kesemua tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik semua tuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, pada 1 Februari hingga 27 November 2019, kesemua mereka didapati sebagai ahli kumpulan jenayah terancang Geng Kabali di lorong kecil di Jalan Besar Batu 12 1/2, Jalan Rantau-Siliau.

Kesemua tertuduh yang berusia di antara 18 hingga 50 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.