Wednesday, 12 August 2020

updated 8:46 AM UTC, Aug 12, 2020

Tiga remaja lemas ketika memancing dan mandi di sebuah kolam

  • Published in Berita Semasa

JOHOR BAHRU, 13 Feb - Tiga kanak-kanak lelaki maut selepas lemas di sebuah kolam di Jalan Kunyit, Taman Sri Amar, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor, kira-kira 7.22 malam tadi.

Manakala seorang lagi kanak-kanak terselamat.

Mangsa yang meninggal dunia; Faris Farhan Mohd Sani, 14 tahun, Mohd Rozie Iskandar Shah Abdulah, 11 tahun dan Muhammad Haziq Nor Kamal, 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais melalui satu kenyataan berkata, ketika kejadian kesemua mereka sedang memancing dan mandi dalam kolam tersebut.

Menerusi maklumat daripada mangsa yang terselamat, Mohd Faiz Haikal Abdulah, 13 tahun, tiga rakannya itu lemas selepas mandi di tengah kolam.

Faiz Haikal juga sempat membaling tali ke arah semua mangsa untuk menyelamatkan mereka, namun usahanya gagal.

Semua mangsa ditemui antara pukul 7.47 hingga 8.16 malam pada jarak kira-kira lima meter dari tepi kolam.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar dalam satu kenyataan memaklumkan, sebelas anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Pihak bomba menggunakan kaedah pencarian di permukaan dan semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Operasi tamat 9.02 malam.