Thursday, February 27, 2020

updated 5:55 AM UTC, Feb 27, 2020

16 cek Yayasan Akalbudi ada tandatangan Zahid 

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 13 Feb - Ahli Kimia, Siti Nur Musliha Mohamd Noor mendedahkan, 16 cek milik Yayasan Akalbudi yang digunakan untuk membuat beberapa pembayaran termasuk kegunaan peribadi mempunyai tandatangan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pegawai Jabatan Kimia Malaysia yang juga saksi pendakwaan ke-31 itu membacakan keterangannya pada hari ke -15 perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut Siti Nur Musliha, 10 dari 16 tandatangan itu menunjukkan persamaan ketara dengan ciri tandatangan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid sebagai tandatangan spesimen ‘S’.

Oleh kerana ciri-ciri yang terhad, beliau berpendapat bahawa tandatangan yang dipertikaikan pada 10 cek itu kemungkinan besar ditulis oleh penulis spesimen.

Bagaimanapun, enam tandatangan lagi menunjukkan beberapa persamaan dalam ciri tulisan tangan sebagai tandatangan spesimen ‘S’.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-32 iaitu Pemilik Syarikat Sarana Kencara Sdn Bhd (SKSB), Datuk Abu Hanifah Noordin memberitahu mahkamah, beliau tidak tahu pembayaran dua cek masing-masing bernilai RM5 juta dan RM1 juta dibuat kepada Lewis & Co pada 25 april 2017.

Datuk Abu Hanifah memaklumkan beliau tahu mengenai bayaran berjumlah RM6 juta itu bukannya kepada UMNO atau Barisan Nasional selepas siasatan dibuat oleh SPRM.

Beliau berpendapat pembayaran tersebut adalah bagi urusan perniagaan dan pelaburan.

Jelasnya, beliau dimaklumkan Penasihat Kewangan dan Korporat SKSB, Chew Ben Ben, bahawa kedua-dua cek itu merupakan sumbangan kepada UMNO dan Barisan Nasional kerana telah membantu menyenaraikan anak syarikat SKSB iaitu DGB melalui program Skim Jejak Jaya Ke Bursa.

Saksi memaklumkan, beliau tidak tahu wang tersebut akan diserahkan kepada Lewis & Co kerana Chew Ben Ben meminta saksi mengosongkan penama pada cek tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.