Monday, August 21, 2017
vital-top
updated 4:33 AM UTC, Aug 21, 2017

PM Ucap Tahniah Tiga Penjelajah Negara Berjaya Ekspedisi Ke Kutub Utara

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan tahniah kepada tiga penjelajah negara yang berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara dalam misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan tiga penjelajah kita ke Kutub Utara telah selamat menyempurnakan misi mereka. Tahniah!" kata perdana menteri dalam catatan di laman Twitternya.

Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, 35, Shahrom Abdullah, 38, dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37, menamatkan misi tersebut pada 5.06 petang semalam waktu Kutub Utara atau 11.06 malam tadi waktu Malaysia.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji sejauh 111 kilometer yang memakan masa 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah Malaysia itu menamatkan misi mereka dalam tempoh enam hari sahaja.

((BERNAMA))