Friday, June 23, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Jun 23, 2017

Penjawat Awam Perlu Punyai Kesetiaan Dan Kebersatuan - PM

MELAKA - Penjawat awam di negara ini perlu mempunyai semangat kesetiaan dan kebersatuan dalam usaha memastikan Malaysia menjadi sebuah negara berjaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sejarah memperlihatkan betapa empayar Melaka itu jatuh kerana tiada semangat kesetiaan dan kebersamaan dalam kalangan anggota kerajaannya juga mereka yang bertanggungjawab menyokong barisan kepimpinan empayar itu.

"Prinsip kesetiaan penting, kita sudah angkat sumpah sebagai penjawat awam mendukung kerajaan dipilih rakyat maka kerana itu wajib bagi kita (ada semangat kesetiaan), perkara kedua perlu ada juga ialah semangat kebersatuan sesama kita.

"Kebersatuan dalam erti kata kita ini satu keluarga menuju ke arah satu matlamat...budaya melaga-lagakan antara kita mesti kita hapuskan, kita elakkan," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar, barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka dan kira-kira 10,000 penjawat awam di negeri ini.

((BERNAMA))