Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

Kerajaan Ambil Langkah Kurangkan Pembaziran – Tun M

  • Published in Berita Semasa
Foto - Bernama

PUTRAJAYA — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengambil langkah untuk mengurangkan pembaziran wang termasuk menamatkan perkhidmatan kira-kira 17,000 penjawat awam berstatus kontrak kerana merupakan pelantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri berkata, pihaknya, bagaimanapun, sedia membantu penjawat awam terbabit bergaji rendah seperti pemandu.

“Ini akan menyusahkan mereka kalau diberhentikan secara tiba-tiba apabila tiada bayaran gaji dan sebagainya. Kita akan memberi jawatan-jawatan lain yang sesuai dengan kelayakan mereka.

“Ini sedang dilakukan memandang ia akan mengambil masa dan memerlukan penyelesaian keputusan oleh saya sendiri,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini. 

Beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji perbelanjaan kerajaan yang lain untuk mengurangkan bebanan kewangan negara.

 

Ditanya  berhubung penjawat awam yang akan diberhentikan, Perdana Menteri berkata pegawai kanan kerajaan yang telah melakukan kesalahan akan diberi cuti atau digantung perkhidmatam mereka.

“Ia semuanya  bergantung kepada tindakan-tindakan  tertentu yang akan dilaksanakan untuk mengetepikan mereka daripada kerajaan,” katanya.

Mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Tun Dr Mahathir berkata beberapa kedudukan dalam kerajaan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan dapat dibuat.

Kelmarin, Ketua Persuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzukifli Ahmad, telah meletak  jawatannya dan melaporkan tugas di Jabatan Peguam Negara, semalam.

 Sementara itu, Tun Dr Mahathir berkata kerajaan sedia membayar balik lebihan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). 

((BERNAMA))