Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

Tun M Minta Rakyat Beri Sokongan Kepada Kerajaan PH

  • Published in Berita Semasa
Foto - Bernama

KUALA LUMPUR –  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat supaya memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk seperti mereka menyokong mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Beliau berkata berbeza seperti di sesetengah negara, proses pilihan raya, terutamanya apabila melibatkan pertukaran kerajaan, kerap membawa kepada kekecohan dan ketegangan.

Katanya, lebih teruk lagi, tunjuk perasaan yang melampau, rusuhan dan perang saudara juga akan menyusul, menyebabkan kerajaan tidak dapat ditubuh dan negara terus berada dalam keadaan kucar-kacir.

“Tetapi tidak di Malaysia ini. Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.

“Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman ini,” kata Dr Mahathir dalam perutusan Ramadan yang dikeluarkan di sini.

 

Umat Islam di negara ini akan menyambut bulan Ramadan dan menunaikan ibadah berpuasa mulai esok.

 

Bersempena dengan itu, Tun Dr Mahathir berkata umat Islam juga digalakkan supaya bersikap sederhana dalam apa jua tindak tanduk mereka pada bulan Ramadan ini, selain menahan diri daripada lapar dan dahaga serta menggelak daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam, .

 

Tun Dr Mahathir berkata walaupun umat Islam digalakkan melakukan semua ibadah tersebut untuk selamatkan diri di akhirat, mereka juga harus ingat akan tugas dan tanggungjawab mereka dalam pembentukan masyarakat Islam yang terbaik di dunia. 

Katanya, Al-Quran merupakan panduan yang utama bagi umat Islam.

Tun Dr Mahathir berkata pilihan raya yang lepas akan membawa perubahan kepada pentadbiran negara dan pentadbiran agama Islam dan kerajaan Pakatan Harapan juga akan memberi penekanan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

((BERNAMA))