Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

Malaysia Akan Hubungi Beberapa Negara Dapatkan Balik Wang 1MDB – TUN M

  • Published in Berita Semasa
Foto - Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia akan menghubungi beberapa negara bagi mendapatkan balik dana yang didakwa diseleweng  daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana jumlahnya yang besar boleh menyelesaikan beberapa jenis hutang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penting bagi kerajaan mendapatkan balik wang yang masih ada di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan mungkin juga di Luxembourg, dengan jumlah yang agak besar dianggarkan US$4.5 bilion berada di Amerika Syarikat.

"Dahulu, tidak ada pengakuan daripada kerajaan (pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bahawa duit ini berasal dari 1MDB dan dibersihkan di Amerika Syarikat. Oleh kerana, tiada pengakuan duit itu adalah duit Malaysia, maka tiada tuntutan dibuat. 

"Jadi, kita hendak buat kenyataan duit ini kepunyaan Malaysia, dan kita akan pohon supaya mereka bagi balik duit ini kepada Malaysia. Jumlah agak besar dan akan menolong kita selesaikan beberapa jenis hutang," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Menurut Tun Dr Mahathir, perkara utama yang mendapat perhatian kerajaan adalah isu rasuah khususnya 1MBD dan juga wang-wang yang telah diselewang oleh kerajaan lama.

Perdana Menteri berkata beliau sudah mendapatkan taklimat daripada pihak polis serta Ketua Audit Negara dan telah membaca laporan pengauditan 1MDB yang sudah dikelaskan sebagai dokumen terbuka. 

Semalam, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamed dalam satu kenyataan berkata laporan pengauditan 1MDB yang pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016 kini sudah boleh dirujuk orang ramai. 

Dr Mahathir berkata terpulang kepada polis untuk memanggil Datuk Seri Najib bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.

Ditanya sama ada bukti mencukupi bagi mendakwa Datuk Seri Najib, Tun Dr Mahathir berkata jika mempunyai bukti yang cukup, tindakan boleh diambil.

Ditanya sama ada kerajaan sekarang akan menanggung hutang 1MDB, Tun Dr Mahathir menjawab: "Ya, kita perlu menanggungnya. Jika hutang itu memberi implikasi kepada kerajaan, kita perlu bayar. Jika tidak kita akan disaman dan dijadikan bankrap." 

((BERNAMA))