Sunday, June 24, 2018
vital-top
updated 3:44 PM UTC, Jun 23, 2018

PH Tidak Terima Anggota Dari Parti Pemerintah Sebelum Ini – TUN M

  • Published in Berita Semasa
Foto - Bernama

PUTRAJAYA — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima anggota daripada parti yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 

Pengerusi PH itu berkata ramai ahli politik daripada kerajaan sebelum ini berminat untuk menyertai PH. 

“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli. 

“Mereka boleh mengisytihar keluar parti umpama UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (PH),” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Tun Dr Mahathir berkata rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baharu. 

“Rakyat tidak pandang baik terhadap ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baharu ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima,” katanya. 

Semalam, Ketua Penerangan PPBM Pusat Datuk Kamaruddin Md Noor berkata parti itu menerima permohonan kemasukan baharu setiap hari termasuk pemimpin dan anggota UMNO  dari seluruh daerah di Kelantan. 

Pada 14 Mei, di Perak, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta empat pemimpin lain antara 200 anggota UMNO yang mengisytiharkan  keluar UMNO dan menyertai PPBM Perak.

Tun Dr Mahathir ialah pengerusi PPBM.

((BERNAMA))