Monday, December 17, 2018
vital-top
updated 11:42 AM UTC, Oct 16, 2018

Kerajaan Akan Percepat Pelantikan Menteri Kabinet – Tun M

  • Published in Berita Semasa
Foto - Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mempercepatkan pelantikan 10 menteri Kabinet bagi membolehkan majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata fasa pertama penubuhan kerajaan melibatkan pelantikan 10 menteri Kabinet diharap dapat diumumkan pada minggu ini supaya tugas kerajaan boleh dijalankan termasuk mengadakan mesyuarat Kabinet.

“Kerajaan boleh mengadakan mesyuarat Kabinet dengan 10 orang ini sahaja sementara kita isi 15 tempat lagi supaya kita dapat Kabinet penuh melibatkan 25 kementerian.

Beliau berkata pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.

Tun Dr Mahathir berkata usaha mempercepatkan proses pelantikan Menteri Kabinet itu juga penting bagi membolehkan kajian berkenaan undang-undang yang perlu dimansuhkan dan perkara berkaitan polisi kerajaan sedia ada dapat dijalankan secepat mungkin.

Perdana Menteri  berkata antara kajian semula terhadap undang-undang yang perlu dimansuhkan termasuk Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan undang-undang yang menyekat kebebasan dan hak bersuara.

“Kita tiada niat untuk mengekalkan Akta Antiberita Tidak Benar tetapi kita perlu juga buat kajian.

“Ini semua akan dilakukan, bukan sahaja berkenaan GST dan (akta) berita tidak benar, tetapi ada keperluan (kaji) undang-undang keselamatan negara dan beberapa lagi undang-undang berkenaan yang menyekat kebebasan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua empat parti dalam PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan PPBM telah mengemukakan calon menteri dan timbalan menteri masing-masing.

((BERNAMA))