Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

Masjid di Kampung Padang Setol Kedah terbakar

  • Published in Berita Semasa

KEDAH - Pengurusan sebuah masjid di Kampung Padang Setol, Pedu dekat Padang Terap, Kedah mengalami kerugian ribuan ringgit selepas bahagian dalam masjid berkenaan terbakar. 

Kebakaran dipercayai berlaku antara pukul 9.30 malam tadi sehingga pukul 5.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Noh Idris berkata, kejadian hanya disedari seorang ahli kariah yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 5.40 pagi dan mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian hadapan masjid.

Kejadian tersebut kemudian dilaporkan kepada Balai Polis Kampung Tanjung kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, kebakaran dipercayai bermula dari atas mimbar masjid sebelum merebak ke bahagian karpet bawah mimbar.

Paparan skrin yang diletakkan di bahagian atas dinding turut terbakar.

Berdasarkan siasatan awal, masjid berkenaan ditinggalkan dalam keadaan pintu tertutup tetapi tidak berkunci dan semua lampu dipadamkan.

Pihak forensik PDRM dan bomba dipanggil untuk membantu siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Polis turut menyiasat sama ada kebakaran tersebut berpunca daripada perbuatan khianat atau sebaliknya.