Monday, August 26, 2019
updated 4:59 AM UTC, Aug 26, 2019

Jerebu: Kualiti udara di Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Keadaan berjerebu di beberapa kawasan seperti Miri dan Sri Aman di Sarawak ; menyebabkan kualiti udara di tahap Tidak Sihat, Sangat Tidak Sihat dan Bahaya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail melalui kenyataan media menyatakan keadaan itu berpunca daripada pembakaran terbuka di kawasan berhampiran selain jerebu rentas sempadan yang dibawa dari Sumatera dan Kalimantan.

Kerajaan negeri Sarawak juga telah memohon menjalankan operasi pembenihan awan, OPA di kawasan kebakaran tanah gambut Kuala Baram, Miri, Sarawak.

Sehingga kini, keluasan kawasan yang terbakar dianggarkan 104 hektar.

Meskipun kawasan kebakaran seluas 41.5 hektar telah berjaya dipadamkan, namun baki 62.5 hektar belum dapat dipadamkan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara, Nadma telah memohon MET Malaysia dan Tentera Udara DIRaja Malaysia, TUDM untuk bersiapsiaga melakukan OPA jika keadaan atmosfera bersesuaian.

NADMA turut mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM bagi menggunakan pesawat udara bombardier untuk tujuan operasi pemadaman kebakaran di Kuala Baram, Miri.

NADMA juga akan membiayai pembelian topeng muka untuk kerajaan negeri Sarawak bagi tujuan keselamatan.

Penduduk di kawasan berkenaan tururt dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa memakai topeng muka apabila berada di kawasan terbuka.