Monday, August 26, 2019
updated 4:53 AM UTC, Aug 26, 2019

Lelaki maut dirempuh kereta ketika sedang mengawal lalu lintas

  • Published in Berita Semasa

FOTO - RTM PAHANG

 

LIPIS - Seorang lelaki yang sedang mengawal lalu lintas selepas kenderaan yang dinaiki terlibat kemalangan, maut akibat dirempuh sebuah kereta di Kilometer 24 Jalan Lipis – Merapoh, Lipis, hari ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kejadian kira-kira jam 6 pagi itu berlaku ketika mangsa, Wagiman Jemiran, 52 tahun, dan empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari arah Tanah Merah, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa memberhentikan kereta dipandunya kerana mengalami kerosakan di bahu jalan.

Bagaimanapun, kereta mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah lori sehingga melintang di jalan.

Mangsa kemudian meminta semua penumpang keluar daripada kenderaan itu dan mangsa membuat kawalan lalu lintas sebelum dilanggar sebuah kereta di tengah jalan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah, meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih giat dilakukan.

((RTM PAHANG / ROZIEHANIS))