Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

2 warga Singapura hilang : Kayak ditemukan bersama beberapa barang peribadi

  • Published in Berita Semasa

 

MERSING - Perkembangan terbaharu operasi mencari dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing.

Kayak dipercayai milik Tan Eng Soon dan Puah Geok Tin ditemukan tengah hari tadi oleh nelayan tempatan pada kedudukan 0.6 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Kuantan.

Turut ditemukan dalam kayak itu, barang-barang peribadi dipercayai milik mangsa termasuk beg duit berisi wang tunai Malaysia dan Singapura, telefon bimbit, pasport Singapura milik Tan Eng Soon, satu beg pakaian, kad pengenalan diri dan pendayung.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid dalam satu kenyataan berkata jarak lokasi penemuan dengan lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang ialah kira-kira 80 batu nautika.

Melalui penemuan itu, Maritim Malaysia percaya telah menemukan petunjuk baharu dan operasi mencari dan menyelamat akan dirancang bersesuaian dengan maklumat diperoleh.

((RTM JOHOR / AQEELA))