Monday, August 26, 2019
updated 5:57 AM UTC, Aug 26, 2019

Pulau Bunker Johor : Bakal menjadi salah sebuah Terminal Minyak Bersepadu terbesar dunia

  • Published in Berita Semasa

 


PUTRAJAYA - Malaysia bakal muncul sebagai salah sebuah negara yang memiliki lokasi terminal minyak bersepadu bebas terbesar di dunia.

Dikenali sebagai "Pulau Bunker" atau pulau simpanan minyak, terminal bersepadu yang bakal siap dalam tempoh dua tahun itu akan dibangunkan di dalam Zon Bebas Komersial Tanjung Pelepas, Johor oleh sebuah syarikat kemudahan terminal minyak tempatan, Smart Crest Sdn Bhd.

 

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, syarikat berkenaan juga bertanggungjawab untuk mengumpul dana pelaburan sebanyak dua bilion ringgit bagi menampung pembangunan projek itu.

Jelasnya, projek tersebut akan disiapkan dalam tiga fasa dan fasa pertama dijangka akan beroperasi dalam tempoh dua tahun.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Projek Pulau Bunker antara Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Smart Crest Sdn Bhd di Putrajaya.

LPJ diwakili Pengurus Besarnya, Razif Ahmad manakala Smart Crest diwakili Pengarah Urusannya, Cher Lee Kiat.

Kemudahan Pulau Bunker ini selaras dengan pelan Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor untuk membangunkan Selatan Johor sebagai destinasi penyimpanan dan destinasi minyak penting.

Ia bakal dilengkapi dengan 61 tangki, lima ruang tangki dan mempunyai kapasiti penyimpanan kira-kira 1.2 juta meter padu.