Monday, August 26, 2019
updated 4:53 AM UTC, Aug 26, 2019

Tukang rumah dipenjara 20 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

  • Published in Berita Semasa

KOTA TINGGI - Seorang tukang rumah dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, selepas mengaku bersalah melakukan sumbang mahram ke atas anak tirinya.

Lelaki berusia 62 tahun itu mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca sekali lagi oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.

Lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan dengan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang juga anak tirinya.

Perbuatan terkutuk ini dilakukan dalam sebuah bilik di rumah di Kota Kecil, kira-kira dua petang, 17 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, pada 23 Mei, tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan berkenaan sebelum mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman.

Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.