Friday, May 25, 2018
vital-top
updated 1:45 PM UTC, May 25, 2018

Malaysia Kutuk Penggunaan Senjata Kimia Di Syria

  • Published in Berita Semasa
Foto - Reuters

KUALA LUMPUR - Malaysia amat bimbang penggunaan senjata kimia dan serangan udara akan memburukkan lagi keadaan konflik di Syria dan sekali gus meningkatkan penderitaan penduduk awam di negara itu serta menjerumuskan seluruh rantau berkenaan ke kancah kerumitan.

Dalam kenyataan , Wisma Putra berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan senjata kimia dalam apa jua keadaan kerana ia merupakan perbuatan keji dan mencabul undang-undang antarabangsa, manakala mereka yang melakukannya perlu dihukum.

Wisma Putra berkata Malaysia juga amat prihatin dengan serangan udara bersama yang dilancarkan Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom di Syria pada 14 April.

Katanya, Malaysia sentiasa yakin bahawa dalam menangani hal berkaitan keamanan dan keselamatan, semua pihak perlu bertindak sejajar dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa, yang memperuntukkan bahawa Majlis Keselamatan PBB mempunyai tanggungjawab penting untuk memelihara keamanan dan keselamatan.

Katanya, Malaysia juga percaya penyelesaian secara ketenteraan tidak sekali-kali mampu menamatkan konflik di Syria dan oleh itu, ia menggesa semua pihak terlibat supaya mencari penyelesaian politik melalui dialog dan rundingan.

((BERNAMA))