Monday, August 26, 2019
updated 2:34 AM UTC, Aug 26, 2019

30 syarat dikenakan bagi meluluskan Projek LRT Bayan Lepas

  • Published in Berita Semasa


BAYAN LEPAS - Kementerian Pengangkutan memberi kelulusan bersyarat untuk skim keretapi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang dikemukakan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang.

Menurut Menterinya Anthony Loke Siew Fook kelulusan itu tertakluk kepada syarat-syarat tertentu mengikut peruntukan di bawah Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

30 syarat dikenakan bagi meluluskan permohonan tersebut.

Antaranya meliputi kelulusan DEIA untuk Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang, kajian Kesan Sosial, kajian Kesan Warisan, kajian Impak Trafik serta beberapa syarat lain yang mengambil kira faktor teknikal, sosial dan kawal selia.

BPEN juga perlu mendeposit semua dokumen di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat, APAD untuk pemeriksaan awam selama 3 bulan.

Setelah selesai satu lagi permohonan kelulusan muktamad skim kereta api perlu dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan untuk kelulusan.

Projek LRT Bayan Lepas merangkumi jajaran sejauh 29.9 kilometer meliputi 27 buah stesen, bermula dari Komtar dan melalui beberapa kawasan lain termasuk Gelugor, Bayan Baru dan Bayan Lepas.