Monday, August 26, 2019
updated 2:34 AM UTC, Aug 26, 2019

Tipu umrah : Pemilik butik mengaku tidak bersalah

  • Published in Berita Semasa

FOTO - RTM


TEMERLOH - Di Pahang, seorang pemilik butik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh atas 18 pertuduhan, penipuan pakej umrah bernilai RM19,800 ribu dan pemalsuan dokumen.

Tertuduh, Noraini Abu Bakar, 33 tahun dari Setia Alam, Shah Alam membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ti Pei Si.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Low Chin How manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan penipuan terhadap sembilan mangsa di pelbagai lokasi berasingan di Mentakab dan Temerloh pada 21 hingga 28 November tahun lalu.

Tertuduh didakwa memperdayakan dan mendorong ke semua mangsa menyerahkan wang tunai RM2,200 ribu setiap seorang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memalsukan surat rasmi milik Syarikat MHMT Tours Travel Sendirian Berhad untuk tujuan menyakinkan peserta umrah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Majistret, Ti Pei Si kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 ribu dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Ogos hadapan.