Monday, August 26, 2019
updated 2:34 AM UTC, Aug 26, 2019

Sasaran tempoh 6 bulan bersihkan kilang plastik dan tapak pelupusan sampah haram

  • Published in Berita Semasa

FOTO HIASAN


IPOH - Sekurang-kurangnya tempoh enam bulan diperlukan untuk membersihkan kilang plastik dan tapak pelupusan sampah haram di negara ini.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, setakat ini sebanyak 40 kilang plastik haram telah diarah tutup. Daripada jumlah tersebut dua sudah didakwa di mahkamah, manakala dua lagi dalam proses pembersihan.

Beliau berkata demikian selepas melawat Resourceco Asia (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian IBG, Tasek.

Kilang tersebut memproses bahan buangan termasuk plastik untuk dikitar semula menjadi bahan bakar alternatif untuk pemprosesan simen.

Teknologi tersebut dilihat sesuai untuk membantu membersihkan kilang plastik dan tapak pelupusan sampah haram dalam negara.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata pihak kementerian turut menerima cadangan daripada sebuah syarikat tempatan untuk penggunaan teknologi dikenali sebagai 'The Asher' yang menggunakan teknologi 'pyrolysis plasma', sejenis alat mudah alih untuk membakar sampah.