Monday, August 26, 2019
updated 2:34 AM UTC, Aug 26, 2019

Tipu umrah : Bekas pengarah berdepan 50 pertuduhan

  • Published in Berita Semasa

FOTO - RTM


KUALA TERENGGANU - Lagi pertuduhan melibatkan bekas pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu, Mohd Adam Mohd Ghazali, 31 tahun. Dia berdepan 50 pertuduhan menipu dalam urusan pakej umrah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di Terengganu, pada Rabu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Di Mahkamah Sesyen 3, tertuduh berdepan 26 pertuduhan membabitkan lebih dua puluh mangsa. Nilai kerugian, lebih RM100,000 ribu, berlaku antara Jun sehingga November 2016 dibeberapa daerah, sekitar Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM209,000 ribu dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos ini, sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh turut diperintah melapor diri di Mahkamah Sesyen dua kali sebulan sepanjang perbicaraan bermula Ogos hadapan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen satu pula, tertuduh berdepan 24 lagi pertuduhan menipu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Lishantini di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mahkamah menawarkan jaminan RM240,000 ribu dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam bela Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 26 pertuduhan menipu lebih 20 mangsa membabitkan jumlah kerugian hampir RM200,000 ribu.