Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

RM925 juta dana 1MDB dipulangkan - Kementerian Kewangan

  • Published in Berita Semasa

 

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM 925 juta dana berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi kenyataannya berkata, jumlah itu tidak termasuk hasil jualan kapal layar mewah, Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd pada harga RM 527.4 juta . 

Hasil jualan itu sudah diterima sepenuhnya pada 23 April lalu dan kini disimpan dalam sebuah syarikat guaman tempatan untuk tempoh tiga bulan.

Ia bagi tujuan penyesuaian perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui perintah mahkamah.

Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terbabit dijangka akan didepositkan ke dalam `Recovery Account’ milik 1MDB atau Kementerian Kewangan Ogos nanti.

Tegasnya, usaha sedang giat dijalankan bagi mendapatkan kembali dana yang diselewengkan bagi membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM 51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang yang dijamin Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, akaun bank entiti politik seperti Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang telah menerima dana yang berpunca daripada 1MDB sudah dibekukan oleh SPRM dalam usaha mendapatkan kembali dana berkenaan.

Jelasnya daripada jumlah tersebut, sebanyak 6.1 juta ringgit yang diterima kembali Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak, namun Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI) masih belum membuat sebarang bayaran lagi.