Sunday, October 20, 2019
updated 2:49 PM UTC, Oct 20, 2019

Petugas media perlu dihormati dalam melaksanakan tugas - Gobind Singh Deo

  • Published in Berita Semasa


LONDON - Petugas media tidak seharusnya diancam, sebaliknya golongan itu perlu dihormati dalam melaksanakan tugasannya.

Justeru, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegaskan, pihak yang bertanggungjawab mengancam mana-mana petugas media perlu diambil tindakan sewajarnya.

Ketika berucap sempena Persidangan Global bagi Kebebasan Media di London, Gobind menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan kebebasan media di Malaysia menerusi beberapa inisiatif.

Ia termasuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti serta menghapuskan undang-undang bercorak menindas yang pernah digunakan sebelum ini untuk menghalang media dan pandangan bertentangan.

Mengulas mengenai Majlis Media, Gobind berkata, kerajaan sedang dalam proses mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas menerusi perbincangan dengan pengamal media, wartawan, organisasi media, kesatuan, kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan lain yang mempunyai kepentingan.

Majlis Media berperanan sebagai badan pengawalseliaan sendiri yang bebas untuk mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.