Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikurniakan Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) di Istana Negara.

  • Published in Berita Semasa

 

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikurniakan Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) di Istana Negara.

Dalam istiadat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dikurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N). Penganugerahan darjah kebesaran kepada baginda berdua disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili kerajaan. Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam, pada 15 Januari lalu dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Manakala, istiadat pertabalan baginda dijadualkan berlangsung 30 Julai ini. Darjah kebesaran D.K.M ini dipersembahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang dilantik menjadi Yang di-pertuan Agong. Darjah kebesaran D.K.M mempunyai 5 komponen utama iaitu kalung, lencana darjah pada kalung, bintang darjah, selepang darjah dan lencana darjah pada selepang.

Bagi darjah kebesaran D.M.N pula dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya. Majlis penyampaian darjah kebesaran itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.