Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

Polis berjaya tahan 2 lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di Segamat

  • Published in Berita Semasa

FOTO - RTM JOHOR 

SEGAMAT - Tidak sampai 12 jam, dua lelaki yang dipercayai terlibat menyamun seorang peraih getah di Pogoh, Segamat, Johor ditahan polis di Jementah, kira-kira 9.30 malam kelmarin.

Hasil soal siasat, mereka mengaku melakukan samun berkawan tanpa senjata api itu bersama dua lagi suspek yang masih bebas.

Polis kini sedang giat mengesan dua suspek tersebut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi, suspek datang ke stor getah dengan menaiki motosikal curi dan berpura-pura mahu menjual getah kepada peraih getah berusia 31 tahun itu.

Suspek kemudian mengambil parang dan mengacukannya kepada mangsa sebelum merampas dua beg mengandungi wang tunai RM2,600.

Siasatan terhadap kedua-dua suspek berusia 34 dan 21 tahun itu mendapati mereka mempunyai rekod lampau serta dalam senarai dikehendaki bagi kes dadah.

Antara barang dirampas, wang tunai RM833, empat buah telefon bimbit dan sebuah kereta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

((RTM JOHOR / AQEELA ARBAEN))