Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

Kuala Koh, Gua Musang diisytihar Zon Merah

  • Published in Berita Semasa

 

KELANTAN - Kawasan perkampungan Orang Asli Batek di Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan diisytihar Zon Merah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan ketika mengumumkan mengenainya menyatakan hanya pegawai agensi kerajaan khas yang berkaitan dalam operasi pencarian 12 kubur Orang Asli dibenar memasuki lokasi penempatan itu.

Sekatan dan kawalan di penempatan itu bukan hanya untuk penduduk Orang Asli yang tinggal di kampung berkenaan, tetapi menghalang kemasukan orang awam dan pegawai daripada pelbagai agensi, termasuk media.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt. Mohd. Taufik Maidin, arahan tersebut dikeluarkan bermula pagi SEMALAM dan hanya petugas khas terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Forensik sahaja dibenarkan masuk ke lokasi.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah mendapat maklumat awal mengenai lokasi lapan mayat yang ditanam di radius tiga kilometer dari khemah yang didirikan, manakala empat lagi mayat dikebumikan di Hulu Sungai Lebir.

Operasi membolehkan 12 mayat tersebut dibedah siasat bagi mencari punca kematian mereka.