Monday, June 25, 2018
vital-top
updated 8:32 AM UTC, Jun 25, 2018

Siasatan Kebocoran Data Peribadi 46.2 Juta Pengguna Masih Berjalan

  • Published in Berita Semasa
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Siasatan terhadap kes kebocoran data peribadi 46.2 juta pengguna telefon mudah alih di Malaysia, tahun lalu, masih berjalan sehingga kini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata saksi-saksi yang dikenal pasti telah dipanggil untuk diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi membantu siasatan.

“Setelah lengkap nanti , hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai)  berhubung tindakan yang telah diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes tersebut.

Pada awal Nov lepas, laman Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung kecurian data berkaitan maklumat peribadi besar-besaran untuk dijual, melibatkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja.

Laman itu turut dilaporkan berkata 46.2 juta nombor telefon bimbit daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan dibocorkan dalam talian.

Sementara itu, Datuk Seri Jailani berkata KKMM sentiasa memandang serius isu kebocoran data dan pelbagai aktiviti pemeriksaan telah diadakan bagi memantau sistem data peribadi sesebuah syarikat pengendali data. 

Menurut beliau pada tahun 2017, mahkamah sudah menjatuhkan hukuman terhadap tiga kes kesalahan berkaitan data peribadi dengan lima kes setakat tahun ini.

((BERNAMA))