Monday, June 25, 2018
vital-top
updated 8:32 AM UTC, Jun 25, 2018

Kos Kendali PRU14 Dianggar Cecah RM400 Juta - SPR

  • Published in Berita Semasa

 

PUTRAJAYA - Kos pengurusan Pilihan  Raya  Umum Ke-14 (PRU14)   dianggarkan mencecah RM400 juta.

 Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata ia termasuk bagi menampung kos sewaan, perolehan peralatan, pembayaran elaun serta honorarium.   

Semua pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat mengira undi telah dikenal pasti dan sedia untuk digunakan apabila diperlukan.

Sejumlah 250,000 petugas sementara dijangka diperlukan bagi membantu mengendalikan PRU14 itu.

Dalam memastikan proses RRU14 berlangsung secara telus dan adil, Mohd Hashim berkata SPR menjangkakan 100,000 wakil atau ejen calon bertanding akan menjadi pemerhati tetap  terhadap segala proses pilihan raya. 

Beliau berkata mereka terdiri daripada pemerhati di barung semakan SPR, ejen tempat mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengundian berlangsung dan ejen mengira undi (EMU) yang bertugas semasa proses pengiraan undi.

Jumlah itu tidak termasuk pemerhati di luar pusat mengundi.

Segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka (ejen calon dan pemerhati).

Pada PRU14 ini SPR akan pastikan semua calon yang bertanding menghantar wakil atau ejen mereka untuk bertugas semasa proses pilihan raya itu dijalankan.

Tan Sri Mohd Hashim berkata pada PRU kali ini, SPR akan menghebahkan nama wakil atau ejen yang bertugas supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya itu berlaku dengan telus dan adil.

​​​​​​​Justeru, parti-parti politik tidak perlu berasa bimbang dengan ketelusan proses pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini.

Selain itu,  SPR juga sedang menunggu maklum balas daripada pemerhati-pemerhati antarabangsa termasuk dari negara anggota Komanwel dan ASEAN yang  diundang untuk PRU14.

SPR turut melantik pemerhati tempatan terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang berkecuali serta wakil universiti.

Ditanya mengenai persiapan peribadinya memandangkan ini adalah kali pertama beliau menerajui SPR dalam menguruskan PRU, Tan Sri Mohd Hashim mengakui ia adalah cabaran besar yang menguji keupayaan serta kemampuannya.

Menyifatkan tujuh pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 lepas sebagai medan latihan, Mohd Hashim berkata ia pengalaman amat berharga yang akan digunakannya untuk menguruskan PRU14.

((BERNAMA))