Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

Tiada kes ‘monkeypox’ dikesan di Malaysia - KKM

  • Published in Berita Semasa

FOTO - KKM

 

PUTRAJAYA - Susulan berita tular di media sosial "monkeypox" didakwa berlaku di Johor dan Kuala Lumpur.

Kementerian Kesihatan Malaysia KKM memaklumkan sehingga kini, tiada kes monkeypox dikesan atau dilaporkan berlaku di Malaysia.

Melalui laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO, kes monkeypox terkini yang dilaporkan adalah di Singapura pada 9 Mei lalu, melibatkan seorang warganegara Nigeria yang datang ke Singapura pada 28 April 2019 bagi menghadiri bengkel.

Ia merupakan kes pertama dilaporkan di Asia.

KKM melalui kenyataan yang di keluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah-langkah pencegahan dan kawalan ketat telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut.
  
Ia termasuk kuarantin ke atas 23 orang yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes bagi pemantauan status kesihatan.

Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Singapura menjadi kontak kepada kes monkeypox itu.

Virus monkeypox ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.
 
Virus ini boleh disebarkan melalui titisan pernafasan, juga melalui kontak langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

KKM akan terus memantau status terkini monkeypox melalui maklumat terkini daripada WHO.

KKM juga menasihatkan pelancong yang ingin pergi ke kawasan yang melaporkan kejadian monkeypox di Afrika Tengah dan Barat untuk mengambil langkah berjaga-jaga.