Sunday, June 16, 2019

updated 11:07 AM UTC, Jun 16, 2019

Melaka akan laksana catuan air jika cuaca kering dan tiada hujan

  • Published in Berita Semasa

AYER KEROH - Melaka mungkin  akan melaksanakan catuan air jika cuaca kering dan tiada hujan di negeri itu sehingga 15 Jun depan.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, catuan itu hanya dengan mengurangkan kadar tekanan air yang disalurkan kepada penduduk.

Jelas Adly Zahari, cadangan ini dilihat langkah yang paling wajar bagi memastikan bekalan air di 3 empangan di negeri ini mampu menampung keperluan rakyat.

Beliau berkata, ketika ini, paras air di kawasan Empangan Durian Tunggal berada pada tahap membimbangkan iaitu 37.8 peratus, empangan Jus 66.4 peratus dan empangan Asahan 62.5 peratus.

Bagaimanapun katanya, Empangan Jus buat masa ini masih mampu menampung paras air di empangan Durian Tunggal hingga ke paras normal.
Justeru katanya, rakyat tidak perlu bimbang tetapi dalam masa sama perlu berjimat cermat khasnya dalam musim perayaan ini.

Mengulas lanjut Adly berkata, untuk langkah jangka masa sederhana, pihaknya kini sedang membuat kertas kerja bagi mendapatkan bekalan air dari Tasik Biru ke empangan Durian Tunggal yang dijangka mengambil masa setahun.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh.