Monday, September 16, 2019
updated 12:32 PM UTC, Sep 16, 2019

Sultan Kedah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Quran peringkat Negeri Kedah

  • Published in Berita Semasa

PENDANG - Bersempena Sambutan Nuzul Quran, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Quran peringkat Negeri Kedah, malam tadi.

Program diadakan di Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang, Pendang. Keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin kira-kira pukul 8.40 malam disambut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; beberapa exco kerajaan negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Datuk Shaikh Mahmood Naim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Abd Rahman Ismail.

Program dimulakan dengan solat Isya, seterusnya solat sunat Terawih dan solat sunat Witir yang diimamkan oleh imam jemputan, Ustaz Mohamad Fidaiy Zainal Abidin.

Program kemudian diteruskan dengan ceramah agama bertajuk " Keagungan Mukjizat Al-Quran" yang disampaikan oleh penceramah terkenal, Ustaz Roslan Che Rus.

Kira-kira seribu penduduk setempat hadir memeriahkan sambutan Nuzul Quran anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah kali ini.