Monday, June 24, 2019
updated 12:39 PM UTC, Jun 24, 2019

APMM rampas 53 bubu naga di perairan Jerlun

  • Published in Berita Semasa

ALOR SETAR -  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 53 unit bubu naga yang dipasang di beberapa lokasi di kawasan Pantai Jerlun, awal pagi tadi.

Pengarahnya, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata rampasan bubu naga yang berukuran lebih kurang 10 meter pada pukul 3.40 pagi itu adalah hasil rondaan yang dijalankan anggotanya di sekitar perairan Jerlun.

Jabatan Perikanan Kuala Kedah telah memaklumkan bahawa pihak mereka tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk peralatan bubu naga di perairan negeri Kedah.

Penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh menjejaskan sumber perikanan lain, kerana ia tidak boleh berangkai dan bersambung serta perlu dibuat satu persatu dan mempunyai dua injap seunit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua bubu tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,900 itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10 (2),dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, Mahmad Faizal berkata pihakya mengalu-alukan aduan berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut di mana orang ramai boleh menyalurkan maklumat terus di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04 7310579.