Monday, September 16, 2019
updated 12:32 PM UTC, Sep 16, 2019

APMM rampas set peralatan menangkap ikan tanpa lesen di Pantai Jerlun

  • Published in Berita Semasa

FOTO - APMM

 

JERLUN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 53 set peralatan menangkap ikan iaitu bubu kamban yang juga dikenali sebagai bubu naga atau China Prawn Net Trap di kawasan Pantai Jerlun awal pagi tadi.

Ia hasil hasil rondaan di kawasan perairan Jerlun.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad dalam kenyataannya berkata APMM juga telah menemui 53 set berupa peralatan menangkap ikan (bubu naga) yang masing-masing berukuran lebih kurang 10 meter panjang.

Peralatan tersebut dipercayai dipasang di beberapa lokasi yang berbeza sepanjang kawasan tersebut.

Tambah beliau, Jabatan Perikanan Kuala Kedah telah memaklumkan bahawa pihak mereka tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk peralatan bubu naga di perairan Negeri Kedah.

Kesemua bubu tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,900 itu kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10 (2), dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985.