Monday, September 16, 2019
updated 12:32 PM UTC, Sep 16, 2019

Sambutan perayaan: 636 anggota PBPM Kelantan bertugas

  • Published in Berita Semasa

KOTA BHARU - Seramai 636 anggota tetap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dengan dibantu 200 anggota bomba bantuan selain bomba sukarela bertugas sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Md Salleh Sarbini berkata mereka ini akan menjalankan tugasan di seluruh negeri termasuk pasukan yang melakukan rondaan di jalan raya di ‘kawasan panas’ yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Ia termasuk  membuat rondaan dan pemantauan di jalan-jalan utama ma­suk ke negeri ini seperti di Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.

Pemantauan sama dilakukan di Lebuhraya Timur Barat di Grik-Jeli-Tanah Merah yang menjadi laluan perantau untuk pulang ke kampung halaman.

Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas menerima lawatan rasmi dan majlis ramah mesra bersama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Kota Bahru 

Md Salleh juga berkata, pada peringkat awal persediaan musim perayaan JBPM memberi tumpuan kepada kawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti pusat membeli belah dan hotel dalam keadaan selamat.

Setakat ini tahap keselamatan agak memuaskan dan tiada sebarang notis dikeluarkan oleh JBP Kelantan ke atas mana-mana premis. Namun begitu, setiap pemilik premis perlu memastikan premis mereka dalam keadaan terbaik.

Difahamkan, pengusaha atau pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan keselamatan boleh dikenakan kompaun di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.