Wednesday, May 22, 2019

updated 8:44 AM UTC, May 22, 2019

MIDA tubuh pasukan khas : nilai pelaksanaan projek perangsang ekonomi sepanjang laluan ECRL

  • Published in Berita Semasa

GAMBAR HIASAN

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menubuhkan pasukan khas bagi memudahkan, menilai dan mengkaji semula pelaksanaan Projek Perangsang Ekonomi (EAP) bagi koridor sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
  
Pasukan ini akan menyusun pelbagai pelan tindakan meliputi aktiviti promosi dan pembabitan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk peserta industri tempatan.

Melalui satu kenyataan, MIDA memaklumkan, projek pemangkin ini akan mewujudkan spektrum perniagaan dan peluang pekerjaan yang luas termasuk pembangunan taman perindustrian, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang koridor ECRL.

Dengan aliran masuk pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik serta potensi pertumbuhan, laluan itu akan menyumbang ke arah merapatkan jurang pembangunan di antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia.

MIDA baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama China Communication Construction Company Ltd (CCCC) di Beijing, membabitkan pembangunan berasaskan transit berkaitan projek mega ECRL serta projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula.

Kedua-dua pihak juga akan melaksanakan aktiviti kerjasama dan pembinaan kapasiti dalam menggalakkan komuniti perindustrian dan latihan keupayaan serta perkongsian amalan terbaik.