Logo

RCI Kem Wang Kelian : Maklumat yang diterima tidak mencukupi - Saksi ke-29  

FOTO - RTM

PUTRAJAYA - Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari kesepuluh dimaklumkan oleh saksi bahawa pihaknya ada menerima maklumat berhubung penyeludupan manusia di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, saksi ke-29 itu iaitu bekas Pengarah Kastam Perlis, Mohd Pudzi Man memaklumkan maklumat yang diterima pihaknya tidak mencukupi.

Semenjak berkhidmat di Kastam Perlis pada tahun 2011 hingga 2016, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengumpul dan membuat risikan berkaitan penyeludupan manusia berbanding penyeludupan barang-barang lain.

Meskipun Jabatan Kastam terlibat sama dengan polis dan Imigresen dalam Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) pada ketika itu, namun maklumat mengenai kem penyeludupan manusia itu sukar diperolehi.

Manakala saksi ke 30, bekas Pengarah Kastam Perlis, Mohd Amir Othman memberitahu RCI kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) merupakan tarikan utama kepada pendatang asing masuk ke negara ini.

PATI yang ditempatkan di depoh tahanan Imigresen didakwa datang ke Malaysia secara haram atas kehendak sendiri dan tidak dipaksa mana-mana sindiket.

Enam saksi tampil memberi keterangan sesi prosiding di hadapan panel RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Arifin Zakaria.
  

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.