Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

Sebarang aktiviti bertentangan ajaran ahli sunnah wal jama'ah akan dipantau

  • Published in Berita Semasa
Foto - FB KDN

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan, sebarang aktiviti bertentangan ajaran ahli sunnah wal jama’ah akan dipantau dan diambil tindakan sewajarnya.

Beliau mengulas isu gerakan kumpulan Syiah dipercayai menyebarkan risalah kepada orang ramai secara terbuka di sekitar bazar di ibu negara baru-baru ini.

Tambah beliau, pihak polis telah mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut, dan telah bekerjasama erat dengan pihak berkuasa agama negeri dan JAKIM bagi mengekang aktiviti mengembangkan fahaman syiah di negara ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Abdul Hamid turut menasihati agar rakyat dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersederhana dalam memperjuangkan hak masing-masing.

Perbuatan ekstrim boleh mencetus provokasi dan menyebabkan situasi tidak diingini berlaku.

Tambah Datuk Seri Hamid, rakyat tidak patut berbalah terutamanya berkenaan perkara-perkara yang telah terjamin dan termaktub di dalam perlembagaan negara.

Beliau juga tidak menolak, terdapat pihak tidak bertanggungjawab sengaja memainkan isu berkaitan sentimen kaum mahupun agama.

Datuk Seri Hamid bercakap dalam sidang media selepas menyempurnakan serah terima tugas kepada Timbalan Ketua Polis baharu, Datuk Mazlan Mansor dengan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim di Bukit Aman, di ibu negara.

Dalam majlis sama, isteri Datuk Mazlan, Datin Farihah Mohd. Zamri turut dilantik Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia.