Thursday, May 23, 2019

updated 10:09 AM UTC, May 23, 2019

Status negara maju: pembangunan fizikal seiring dengan pemeliharaan alam semulajadi

  • Published in Berita Semasa

Foto - Azmin Ali

 

KUALA LUMPUR - Malaysia hanya akan berjaya menjadi negara maju jika berupaya memastikan pembangunan fizikal negara seiring dengan pemeliharaan alam semulajadi dan kehijauan kawasan persekitaran.

Jelas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, status negara maju tidak akan tercapai jika hanya memperlihatkan bangunan pencakar langit tetapi alam sekitar tercemar.

Menurut Tun Dr Mahathir, semua pihak telah melihat kesan akibat dari pembangunan tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

Justeru kesedaran yang ingin diterapkan amat jelas iaitu memelihara alam dan persekitaran semulajadi adalah satu tanggungjawab persendirian dan kolektif dan tanggungjawab tersebut perlu berterusan dalam pelbagai bentuk keadaan.

Tun Dr Mahathir berucap pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu di ibu negara.

Tambah beliau, mesej Hari Bumi amat jelas iaitu di waktu semua pihak berusaha untuk membangunkan negara, tidak harus lupa betapa pentingnya untuk mengekalkan dan memelihara alam semula jadi dan persekitaran.

Hari Bumi merupakan acara tahunan yang disambut di seluruh dunia pada tarikh 22 April.

Ia mula disambut pada tahun 1970 dan ia adalah hari untuk orang ramai menghargai Bumi dan menekankan kepentingan untuk semua pihak memelihara dan memulihara alam sekitar untuk generasi sekarang dan akan datang.

((RTM / SAHZAN FAZLI))