Logo

30 kes curi kabel, melibatkan kerugian RM 2 juta berjaya diselesai polis


JOHOR - 30 kes curi kabel di Kota Tinggi sepanjang tahun lalu dan tahun ini melibatkan kerugian RM 2 juta berjaya diselesai polis dengan tertangkapnya 2 suspek warga Indonesia.

Geng Kabel Lombok itu ditahan 6.30 pagi kelmarin di Taman Meranti dan Kulai Besar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Ahsmon Bajah berkata, polis menerima laporan kecurian kabel Telekom Malaysia (TM), di kawasan perindustrian Bandar Tenggara, melibatkan lima lelaki dengan sebuah lori, 5.30 pagi kelmarin.

Suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri dan berlaku kejar-mengejar sehingga ke Kulai.

Lori tersebut berjaya ditahan dengan bantuan pasukan peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai.

Hasilnya dua suspek berjaya ditahan namun 3 suspek meloloskan diri.

Pelbagai peralatan mencuri kabel dan dua gelung kabel TM ditemukan dengan nilai keseluruhan lebih RM 34, 000

Kedua-dua suspek direman 14 hari bermula kelmarin hingga 1 Mei depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

Polis kini giat memburu 3 suspek Geng Kabel Lombok lingkungan umur 25 hingga 45 tahun itu.

((RTM JOHOR/AQEELA))

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.