Friday, 7 August 2020

updated 12:31 AM UTC, Aug 7, 2020

KPDNHEP Kelantan sita 566 tong LPG) di Kota Bharu

  • Published in Berita Semasa

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita 566 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kg Bechah Keranji, Kota Bharu kerana disyaki menyimpan LPG melebihi kuantiti yang dilesenkan.

Pengarahnya,  Adnan Abd Rahman berkata, turut disita sebuah motolori dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM57,403.

Pemeriksaan awal mendapati, premis tersebut mempunyai lesen menjual runcit, namun selepas pemeriksaan lanjut mendapati, stok simpanan oleh pemilik premis adalah melebihi had kuantiti yang dibenarkan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana mempunyai dalam kawalan barang kawalan LPG melebihi kuantiti yang dilesenkan.

Sabit kesalahan, pemilik kedai runcit terbabit boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan denda sehingga satu juta ringgit atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama.

Manakala denda RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara sehingga lima tahun.

Adnan berkata demikian dalam satu kenyataannya di Kota Bharu.

((RTM/MAJIHAH))