Sunday, May 20, 2018
vital-top
updated 3:56 PM UTC, May 20, 2018

Sistem KWSP Tidak Terjejas, Operasi Seperti Biasa

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan bahawa insiden kebakaran yang berlaku di pejabatnya di cawangan Petaling Jaya hari ini tidak menjejas perkhidmatannya.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata semua sistem KWSP tidak terjejas dan operasi berjalan seperti biasa.

Katanya kejadian kebakaran itu adalah terkawal dengan kerosakan terhad kepada bahagian luaran bangunan serta beberapa kenderaan di sebelah bangunan, dan tiada sebarang kecederaan.

Namun pejabat itu akan ditutup buat sementara waktu.

Dalam kejadian kebakaran tengah hari ini, kira-kira 40 peratus daripada bangunan enam tingkat cawangan itu dijilat api.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata transaksi boleh dijalankan seperti biasa di mana-mana cawangan lain di seluruh negara atau secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih i-Akaun.

Katanya siasatan segera akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian kebakaran di bangunan itu serta menilai semula langkah-langkah keselamatan ke atas semua bangunan dan cawangan di seluruh negara.

((BERNAMA)) 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PNHE KAY RS