Sunday, May 27, 2018
vital-top
updated 3:09 AM UTC, May 27, 2018

Putera Charles Tegaskan Perlunya Pendekatan Holistik Dalam Proses Pembandaran

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR – Prince of Wales, Putera Charles menegaskan tentang peri pentingnya pendekatan holistik terhadap pembandaran, dengan mengambil kira semua saiz petempatan serta langkah memupuk integrasi sebenar dan berkesan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Baginda bertitah, perkara itu bertujuan memastikan ekosistem, biodiversiti dan pengeluaran makanan penting dapat dipelihara hingga ke masa akan datang.

Baginda juga menyentuh tentang kesukaran memahami tentang populasi bandar di seluruh dunia, yang dijangka meningkat sekali ganda dalam tempoh 40 tahun akan datang.

Titah baginda, kepesatan pembandaran yang mencemaskan ini mewujudkan cabaran kompleks serta mendesak terhadap manusia dan planet Bumi.

Baginda bertitah pada upacara penutupan Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) di sini dalam perutusan melalui video selama lima minit.

Dalam perutusan itu, Putera Charles juga bertitah tentang keperluan mengenal pasti penyelesaian bagi pertumbuhan bandar, yang boleh mewujudkan peluang bagi petempatan lebih kecil di luar bandar melalui teknologi digital agar akses kepada kewangan mikro, kerja sosial dan pendidikan secara dalam talian akan membolehkan wujudnya ekonomi mampan serta diagih secara meluas.

Putera Charles juga menitahkan selamat maju jaya kepada Datuk Maimunah Mohd Sharif dalam melaksanakan peranan beliau sebagai pengarah eksekutif baharu UN Habitat.

WUF9 berlangsung dari 7 hingga 13 Feb. WUF adalah forum teknikal bukan legislatif yang dianjurkan Program Petempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sejak 2002.

((BERNAMA))