Friday, April 27, 2018
vital-top
updated 4:13 AM UTC, Apr 27, 2018

TN50 Lahir Dari Isi Hati Generasi Muda Untuk Orang Muda - PM

  • Published in Berita Semasa

SEPANG - Gagasan pembangunan dan perubahan terancang yang dilaksana kerajaan, sebenarnya lahir daripada isi hati generasi muda.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 80 RIBU aspirasi orang muda untuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) dikumpul dan ditapis, dan bakal dijadikan pelan tindakan.

Katanya asas utama melahirkan Gagasan TN50 adalah untuk orang muda dan bukan untuk dirinya, tanggungjawab sebagai pemimpin adalah bukan untuk bermain politik atau membuat dasar jangka pendek dan poppulis tetapi mesti membuat dasar daripada isi dan gagasan besar untuk memberi harapan kepada orang muda.

Tambahnya impian orang muda akan dapat dipenuhi sekiranya Barisan Nasional terus memimpin kerajaan..

Datuk Seri Najib berucap merasmikan Hari Gerakan Belia 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibbah di Sepang, Selangor.

Bantuan pentadbiran Belia 4B kawasan-kawasan dan negeri-negeri disampaikan sendiri Perdana Menteri, selain hadiah kepada johan keseluruhan Karnival Sukan Muhibbah 4B Malaysia.

Selain itu, jentera pilihanraya ke-14 Belia 4B Sahabat BN' turut dilancar.

Majlis turut dihadiri lima tokoh dan mantan Presiden Gerakan Belia 4B termasuk Pengasasnya, Cikgu Mohd Kassim Shah.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, selain Presiden Gerakan Belia 4B, Mejar (K) Mohd Nizam Omar.

 

((Berita RTM))