Saturday, February 24, 2018
vital-top
updated 7:58 AM UTC, Feb 24, 2018

TPM - Teknologi CMA Bakal Bawa Faedah Kepada 440 Ribu Pekebun Kecil Getah

  • Published in Berita Semasa

Seramai 440 ribu pekebun kecil getah di seluruh negara bakal mendapat faedah melalui usaha kerajaan memperkenalkan penggunaan campuran getah untuk pembinaan jalan di negara ini menerusi teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan-CMA

Kaedah berkenaan turut diperkenalkan dalam projek membina semula jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat sejauh 10 kilometer dari Desa Temu Jodoh hingga Kampung Kwong Sai,di Labis, Segamat Johor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata teknologi CMA adalah antara kaedah penurapan jalan baharu yang boleh mengurangkan keretakan, aluran dan kos penyelenggaraan masa panjang yang menjimatkan.

 

Penggunaan getah asli dalam pembinaan jalan bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran getah negara malah dapat mengurangkan stok getah semasa, seterusnya meningkatkan harga komoditi terbabit.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pelancaran projek membina semula jalan tersebut di Segamat.

Projek Membina Semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam menaik taraf jalan raya berkenaan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna dengan peruntukan sebanyak 92.3 juta ringgit menerusi Rancangan Malaysia Ke-11.

Pembinaannya bermula 23 Oktober tahun lalu dan dijadual siap pada April 2020.

 

((Berita RTM))