Friday, December 15, 2017
vital-top
updated 8:49 AM UTC, Dec 15, 2017

Sistem Kabel Dasar Laut Di Perairan Sabah Dijangka Siap Hujung Tahun Depan

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Pemasangan sistem kabel da­sar laut di perairan Sabah bagi meningkatkan liputan rangkaian internet dijangka siap hujung tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata sejumlah RM1 bilion diperuntukkan bagi memperluas liputan dan meningkatkan kualiti jalur lebar di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau menyatakan demikian pada persidangan Dewan Rakyat.

Datuk Jailani  menjawab soalan tambahan wakil DAP Sandakan, Wong Tien Fatt@Wong Nyuk Foh yang ingin tahu bilakah masyarakat di luar bandar Sabah khususnya di Sandakan akan menikmati kualiti jalur lebar lebih baik, setara dengan perkhidmatan di kawasan bandar.

Di bawah program Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), sebanyak 31 ibu sawat akan dinaik taraf di Sabah bagi membolehkan penduduk mendapat akses dan liputan jalur lebar yang pantas. 

Mengenai liputan rangkaian telefon pintar, Jailani berkata 2,963 lokasi di seluruh negara telah menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih 3G sejak 2010.

Katanya penambahan di sebanyak 1,008 lagi lokasi sedang dilaksanakan di seluruh negara dan dijangka siap secara berperingkat menjelang akhir 2017.